Assalamualaikum dan hai kawan-kawan,
Di tempat saya, Bahau, Negeri Sembilan hujan sejak hari Jumaat lagi. Hujan gerimis di selang-selikan dengan hujan lebat.
Hari ini sudah hari Ahad. Ketika saya sedang menaip, hujan masih lebat, belum menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti.
Semalam, saya masih lagi boleh ke KFC untuk membeli makanan, tapi sekarang nampaknya beberapa laluan untuk ke bandar Bahau telah dinaiki air. Saya tidak mahu mengambil risiko untuk meredah air, walaupun kelihatan beberapa kenderaan berjaya meredahnya.
Alhamdulillah, kawasan perumahan saya tidak dinaiki air buat setakat ini. Kedai-kedai masih dibuka untuk akses kepada makanan.
Bubur ayam yang dibeli siang tadi.
Tadi, mujur juga kedai bubur ayam ini berniaga. Dapatlah makan bubur panas-panas di waktu hujan begini.
Semua orang terkesan pada waktu ini bukan? Pekedai dalam dilema juga samada mahu membuka kedai atau tidak kerana takut tiada pembeli.
Saya lihat dalam keadaan begini, ada beberapa cadangan yang boleh kita lakukan. Antaranya:
1. Membaiki cara pengurusan sampah samada di rumah, tempat kerja dan lain-lain. Ini kerana sampah yang tidak diurus dengan baik akan mengakibatkan aliran air tersekat dan boleh mengakibatkan takungan air.
2. Mengurangkan sampah yang kita ada. Telah tiba masanya kita membeli barang keperluan dengan menitik beratkan belian dengan membawa bekas sendiri dan tidak menyokong penggunaan plastik.
3. Program kitar semula. Saya tak pasti adakah program ini masih ada atau tidak. Saya dah tak nampak tong sampah warna-warni yang mengasingkan jenis-jenis sampah itu.
4. Mungkin juga boleh buat kempen seperti recycle dan dapat duit.
Saya juga mengerti apa yang saya ada sekarang ini, memang boleh lenyap dengan sekelip mata. Jadi usahlah bangga sangat dengan apa yang kita ada hari ini, esok mungkin akan hilang,
Menyimpan wang tunai mahupun emas, masing-masing ada risikonya.
Punyai kereta lama ataupun kereta baharu, masing-masing ada risikonya.
Rumah setingkat, mahupun tiga tingkat, masing-masing ada risikonya.
Duduk rumah sewa, mahupun rumah beli, masing-masing ada risikonya.
Ingatlah walaupun betapa erat kita memegang harta, ia akan pergi jua nanti.