Aku ditugaskan menjaga asrama, lebih spesifiknya asrama perempuan untuk 3 hari 2 malam bermula semalam. Kenapa? Sebab wardennya ada hal penting yang perlu diuruskan, jadi aku menggantikan tempatnya buat sementara.
Seperti kebiasaannya, (aku pernah jadi warden sepenuh masa pada tahun lepas) bila aku tinggal sekejap sahaja, akan ada hal yang mendatang (selalu buat aku cemas). Tak terlepas juga pada hari semalam.
Setelah makan malam, aku ke kedai untuk membeli barang. Tiba-tiba ada panggilan telefon daripada pengawal keselamatan sekolah. Masa ni, aku dah rasa tak sedap hati...kedengaran suara pelajar perempuan bercakap:
"cikgu, ada budak sesak nafas"
"ha?, kejap lagi saya sampai"
Nasib baiklah kedai yang aku pergi itu dihadapan sekolah saja.
"Mana budak tu?" mereka pun membawa budak yang sesak nafas tu kepada aku.
"Awak sakit apa?"
"Tak tahu"
"Ok, duduk dulu dalam kereta, saya nak ambil buku catatan ke klinik" (setiap pelajar yang dihantar ke klinik dicatat dalam sebuah buku untuk direkodkan)
"Cikgu, budak ni tak bawa IC" kata seorang pelajar mengingatkan aku. Nak bawa ke klinik mesti ada IC
"Alamak, sekarang dah pukul 8.10 malam, kejap lagi klinik tutup" kataku
"Awak tolong saya, tolong ambilkan IC dia ya" aku meminta tolong seorang pelajar ambilkan IC budak tadi. Pelajar perlu melalui padang untuk ke asrama. Ini yang memakan masa.
Aku pun pergi ke tempat pengawal keselamatan untuk mengambil buku catatan. Aku terdengar bunyi uuuwekkk, budak yang duduk dalam kereta itu tadi muntah di atas jalan. Alamak, kes serius ke? Bila IC dah ada, kami pun bergegas hantar dia ke klinik. Dalam perjalanan tu, aku terdengar bunyi halus (macam bunyi semput) macamana aku tahu? Sebab aku pun ada semput :) Aku juga terbau sesuatu yang busuk dan aku terfikir mungkin bau muntah budak itu.
Nasib baik klinik belum tutup. Setelah selesai rawatan kepada budak itu, kami pun balik ke sekolah. Bila keluar dari kereta, aku masih terbau sesuatu yang busuk. Takkan lah budak tadi dah keluar pun masih bau? Aku jadi hairan. Rupa-rupanya budak itu termuntah dalam KERETA AKU, huwwwwwwwaaaaaa. Aku sendiri belum pernah termuntah dalam kereta aku. Huhu. Habis pintu sebelah kiri aku dengan muntahnya. Mungkin dia tak sempat buka pintu, separuh muntahnya bertapa di pintu.
Aku mengelap pintu itu dengan sebungkus tisu. Oleh kerana malam, aku tak nampak sangat. Bau dia - Masyaallah, dah lah aku tengah pening kepala, terus saja rasa nak muntah. Serius, aku tak tipu. Aku juga mengambil sedikit sabun pencuci pinggan mangkuk di kantin tapi masih tak hilang.
Malam tadi semua pelajar berlatih nyanyi lagu sekolah. Siap jurulatih yang ajar nyanyi tu pun cakap: "patutlah abang bau busuk sangat" bila kereta aku lalu sebelah dia. Uuuuwwwaaa sedih gila.
Pagi tadi, masa aku masuk dalam kereta, ya Allah bau dia, dahsyat betul. Aku pun pergi membeli Febreze dan pewangi kereta. Biarlah berapa mahal pun, aku sanggup beli asalkan keretaku kembali bau seperti sedia kala.